MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru Ultras Malaya yang merupakan penyokong kuat skuad Harimau Malaya untuk kembali semula beramai-ramai memberikan sokongan di stadium.
Hannah berkata, semangat skuad Harimau Malaya menentang pasukan lawan adalah datangnya dari jeritan serta sorakan penyokong terdiri daripada Ultras Malaya sendiri.
“Saya menyerulah kepada Ultras Malaya. Tolong kembali dan penuhi Stadium Nasional, Bukit Jalil kerana bila saya menonton Manchester United (MU) lawan Asean All-Star, berbeza kerana tak ada jeritan Ultras Malaya.
“Jadi, saya tahu jeritan dan sokongan ataupun lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Ultras Malaya itu mainkan perbezaan yang besar sangat dalam membantu Harimau Malaya.
“Tenaga itu yang ‘hilang’ ketika MU lawan Asean All-Star. Jadi, saya menyeru, meminta Ultras Malaya kembali bersemangat, kuat untuk bantu pasukan Harimau Malaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui sempena Majlis Perasmian Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan ke-14 KBS-KPM-AG Asia 2025, di Dewan Chin Woo Athletic Association, di Seremban kelmarin.
Sementara itu, perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya berdepan Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin menyaksikan kehadiran Ultras Malaya memberikan sokongan padu kepada skuad negara.
Namun, Hannah berharap jumlah mereka akan lebih ramai ketika skuad negara bakal berdepan aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional pada 10 Jun nanti kerana ia mampu mengobarkan semangat para pemain.
September tahun lalu, suasana di Stadium Nasional menjadi suram dengan ketiadaan Ultras Malaya pada Pestabola Merdeka 2024 selepas mereka memboikot aksi berkenaan ekoran tidak berpuas hati dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).