HONG KONG – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim tidak mahu terlalu gusar dan percaya Bruno Fernandes akan terus kekal bersama pasukan bagi memulihan reputasi kelab itu musim depan.
Amorim menjelaskan ketika ini tiada apa yang perlu dibimbangkan walaupun wujud laporan yang menyebut adanya tawaran £80 juta (RM458.7 juta) daripada kelab Arab Saudi, Al-Hilal.
Bintang dari Portugal itu memulakan perlawanan persahabatan menentang Hong Kong yang berpihak kepada The Red Devils 3-1 dan Amorim kekal yakin ia bukan menjadi penampilan terakhir buat Fernandes.
“Saya tidak fikir begitu, kita semua tidak tahu dan saya pun belum pasti mengenainya. Saya fikir dia sedang melihat yang pasukan ini sedang mengambil semua langkah untuk mengubah pasukan dan saya fikir dia juga mahu terus kekal.
“Dia sudah tunjukkan bahawa dia mahu meraih kemenangan. Dia masih lagi muda dan kualitinya begitu diperlukan di liga terbaik dunia,” katanya.
Amorim juga menjelaskan walaupun United tidak akan bermain di pentas Eropah, The Red Devils masih mempunyai jalan lain untuk mendapatkan dana dan bukannya merelakan perpindahan pemain terbaik.
“Kami boleh cari cara lain untuk dapatkan duit. Saya adalah pengurus pasukan tetapi adakalanya itu adalah keputusan pemain dan saya juga akan berbincang sendiri dengannya (Fernandes),” katanya. AGENSI