BUKIT KAYU HITAM – Seperti dijangka suasana Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini sesak sejak cuti sekolah bermula Jumaat lepas apabila ribuan pelancong tidak melepaskan peluang ke Thailand.
Tinjauan mendapati pintu masuk sempadan itu mengalami aliran trafik yang sesak pada pukul 6 pagi tadi dan berkurangan menjelang tengah hari.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, kira-kira 22,500 pelancong termasuk bukan warganegara menggunakan pintu sempadan tersebut untuk ke Thailand sejak Jumaat lepas.
“ICQS Bukit Kayu Hitam sesak sejak Jumaat apabila banyak pelancong memilih awal pagi ketika sempadan dibuka untuk ke Thailand. Aliran keluar mengalami sedikit kesesakan dan dijangka meningkat hari ini.
“Walau bagaimanapun kita mendapati aliran masuk ke Malaysia juga semakin meningkat iaitu sebanyak 10,997 pengembara dalam tempoh dua hari itu termasuk dalam kalangan warga asing,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE