PARIS – Sekurang-kurangnya 131 orang ditangkap susulan keganasan berkaitan bola sepak dan rompakan yang berleluasa di ibu negara Perancis, Paris malam semalam, lapor portal berita MailOnline.
Kejadian berlaku selepas kelab bola sepak Paris St-Germain (PSG) dinobatkan juara Eropah setelah mengalahkan Inter Milan dari Itali dengan keputusan 5-0 dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) di Munich, Jerman.
“Terdapat kekacauan yang meluas, manakala 131 orang ditangkap menjelang tengah malam,” kata jurucakap polis kota raya itu.
Masalah itu berterusan sehingga awal pagi hari ini ketika anggota-anggota polis dikerah ke lokasi yang menjadi tumpuan rusuhan.
Jalan-jalan utama berhampiran dengan stadium PSG, Parc des Princes diceroboh peminat, menyebabkan lalu lintas terhenti.
Ia menyebabkan polis rusuhan cuba memulihkan keadaan dengan menggunakan gas pemedih mata dan baton.
Kereta-kereta dibakar di sekitar persimpangan lalu lintas utama, Porte de Saint-Cloud, tempat mercun roket dilepaskan ke arah polis.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Bruno Retailleau bertindak balas terhadap kekacauan itu dengan menulis di platform X: “Peminat-peminat PSG semakin teruja dengan prestasi hebat pasukan mereka.”
Sementara itu, sebilangan orang turun ke jalan raya di Paris untuk melakukan jenayah dan memprovokasi penguatkuasaan undang-undang, tulisnya lagi.
“Saya telah meminta pasukan keselamatan dalam negeri untuk bertindak tegas terhadap kekacauan ini,” tulisnya lagi. – AGENSI
.