PUTRAJAYA – Pelbagai aset termasuk kediaman mewah dan akaun bank bernilai RM86 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sitaan itu turut melibatkan aset seperti kenderaan, beg tangan, jam tangan mewah, baragan kemas dan hartanah susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Menurut sumber, turut dibekukan 14 akaun individu dan lapan akaun syarikat susulan penggeledahan yang dilaksanakan Bahagian Siasatan SPRM di kediaman lelaki itu di ibu negara baru-baru ini.
“Berdasarkan siasatan awal, SPRM mengenal pasti modus operandi yang digunakan untuk menyeleweng dana itu adalah dengan menyalurkan kepada syarikat kontraktor milik Tan Sri berkenaan.
“Ia dibuat melalui beberapa transaksi berjumlah ratusan juta ringgit.
“Wang itu kemudiannya diagihkan kepada syarikat dan individu tertentu termasuk akaun Tan Sri yang bertindak sebagai penggerak utama,” katanya hari ini.
Sumber berkata, dana itu seterusnya dipindahkan ke beberapa entiti lain termasuk syarikat proksi dan akaun isteri Tan Sri terbabit.
Selain itu, dana tersebut dipercayai digunakan bagi pembelian pelbagai aset termasuk aktiviti perjudian.
“Dana itu juga digunakan untuk perbelanjaan peribadi seperti pembelian hartanah dalam dan luar negara serta pelaburan melalui pelbagai transaksi kewangan berlapis bagi mengaburi sumber asal dana,” katanya.
Sumber memberitahu, setakat ini SPRM merakam percakapan 45 individu dan dijangka memanggil 30 hingga 50 saksi untuk membantu siasatan.
“Selain 45 individu terbabit, SPRM telah memanggil Tan Sri serta isterinya untuk dirakam percakapan semalam, bagaimanapun dia tidak hadir atas alasan masalah kesihatan.
“Selain pasangan suami isteri itu, anak-anak mereka dan individu yang terlibat akan dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya.
Dalam operasi yang dijalankan baru-baru ini, selain menyita pelbagai aset mewah, SPRM menemui stor simpanan minuman keras di salah sebuah kediaman bernilai RM3 juta.
Ia turut dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram. – KOSMO! ONLINE