SINGAPURA – Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun ditahan selepas melakukan kekerasan dengan menolak dan menendang teman wanitanya di sebuah kedai kopi, lapor portal berita Must Share News semalam.
Kejadian dirakam di Bedok North Avenue 2 pada 26 Mei lalu.
Rakaman video di platform TikTok oleh akaun @cewlinnn menunjukkan pasangan bawah umur itu bertengkar di luar kedai kopi tersebut.
Situasi bertukar cemas apabila suspek menolak gadis terbabit dengan kuat, menyebabkan dia rebah ke tanah.
Suspek kemudian menendang gadis itu berulang kali dan menarik rambut mangsa.
Pertengkaran itu terhenti seketika sebelum suspek merampas telefon bimbit mangsa lalu menghempaskannya.
Salah seorang pengunjung menghubungi polis dan melaporkan kejadian tersebut.
Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 2.35 petang.
“Mangsa mengalami kecederaan, namun enggan dihantar ke hospital.
“Suspek ditangkap atas kesalahan ugutan jenayah. Siasatan sedang giat dijalankan,” kata SPF. – AGENSI