MADRID – Gergasi La Liga, Atletico Madrid dilaporkan sedang merancang rundingan dengan Tottenham Hotspur untuk mendapatkan khidmat pertahanan utama Argentina, Cristian Romero menjelang jendela perpindahan bulan depan.
Difahamkan, Atletico telah mengenal pasti Romero sebagai sasaran utama di posisi bek tengah dan mahu memastikan pemain itu menyertai mereka sebelum Piala Dunia Kelab bermula 15 Jun ini.
Spurs yang menamatkan musim dengan menjulang Liga Europa masih belum bersedia melepaskan pemain berusia 26 tahun itu, namun minat tinggi daripada Romero sendiri untuk menyertai Atletico dijangka memberi tekanan kepada pengurusan kelab London tersebut.
Buat masa ini, terdapat jurang besar antara penilaian kedua-dua kelab dengan Spurs meletakkan tanda harga €70 juta (RM335 juta), manakala Atletico hanya sanggup menawarkan sekitar €45 juta (RM215 juta).
Atletico mahu menyelesaikan perpindahan itu sebelum 10 Jun iaitu tarikh akhir jendela pendek perpindahan sebelum saingan Piala Dunia Kelab bermula.
Sebagai rekod, Romero yang menyertai Spurs daripada Atalanta pada 2021, telah menjadi tonggak utama di barisan pertahanan dan turut membantu Argentina menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar.
Meskipun Spurs kembali ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan, namun Romero mahukan cabaran baharu dan berhasrat beraksi di bawah kendalian Diego Simeone di Sepanyol.
Sekiranya rundingan itu berjaya, ia bakal menjadi salah satu perpindahan berprofil tinggi awal musim panas ini. – AGENSI