KUALA PILAH – Mayat seorang lelaki tidak berpakaian yang ditemukan terapung di sungai berdekatan Kampung Pelangai Hilir, di sini, pagi semalam adalah individu berusia 36 tahun yang hilang dari rumah sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 8.38 pagi dan setibanya di lokasi pihak bomba telah membawa mayat ke tepi sungai menggunakan tali.
“Hasil pemeriksaan ke atas mayat tersebut mendapati tiada unsur jenayah. Selain itu, tiada dokumen pengenalan diri dijumpai di lokasi kejadian dan mayat telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah.
“Bagaimanapun semasa berada di unit forensik, seorang lelaki telah meminta untuk melihat mayat berkenaan. Lelaki itu kemudian memaklumkan mayat tersebut adalah adik kandungnya yang tidak pulang ke rumah ibunya sejak Rabu lalu,” katanya di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE