LONDON – Juara bertahan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Jorge Martin menegaskan dia tidak pernah melanggar kontrak bersama Aprilia, sebaliknya hanya menggunakan klausa yang dipersetujui kedua-dua pihak bagi menentukan masa depannya pada musim 2026.
Menurut Martin, ketika menandatangani kontrak bersama pengeluar dari Itali itu, dia telah menetapkan syarat yang membolehkannya membuat keputusan menyertai pasukan lain sekiranya beberapa perkara utama tidak dipenuhi.
“Saya tidak pernah melanggar kontrak. Sejak awal lagi kami telah bersetuju jika terdapat keadaan tertentu tidak dipenuhi, saya mempunyai hak untuk menentukan masa depan saya.
“Itulah syarat penting menyebabkan saya bersetuju menerima tawaran Aprilia ketika itu,” katanya.
Pelumba Sepanyol itu turut menolak sebarang andaian bahawa wujud ketegangan antara dirinya dan Aprilia sambil menegaskan segala keputusan dibuat dengan penuh profesionalisme.
“Saya sentiasa menghormati Aprilia dan menilai tinggi jentera, pasukan serta seluruh tenaga kerja yang terlibat dalam projek ini. Apa yang saya harapkan hanyalah supaya semangat perjanjian antara kami dihormati.
“Saya tidak mahu menuding jari atau mencetuskan konflik. Saya hanya mahu menghadapi masa depan dengan jelas selepas melalui detik yang sukar termasuk kecederaan serius. Fokus saya ialah memberi yang terbaik di litar dan juga di luar perlumbaan,” tambahnya.
Martin menjelaskan keputusan menyertai Aprilia berdasarkan keperluan untuk menguji jentera serta memahami corak kerja pasukan dalam suasana sebenar sebelum komited untuk mengikat kontrak jangka masa panjang.
Bagaimanapun, beberapa insiden kemalangan telah mengganggu proses tersebut dan Martin akhirnya memilih untuk mengaktifkan klausa pelepasan ditetapkan dalam kontrak Aprilia.
Ketika ini, Honda dikatakan berminat untuk mendapatkan Martin terutama kepakarannya menjinakkan Ducati dan mencipta gelaran dunia tahun lalu. – AGENSI