KUALA KRAI – Dua lelaki termasuk seorang warga Thailand maut selepas jentera berat yang mereka pandu semasa sedang bekerja terjatuh cerun dan gaung dalam kejadian di dua kawasan ladang berasingan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 2.50 petang di kawasan ladang Dabong, Kilometer 27 Jalan Sungai Sam-Dabong di sini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, seorang lelaki warga Thailand berusia 49 tahun memandu sebuah jengkaut untuk pergi berehat.
“Jentera tersebut melalui kawasan lereng bukit sebelum dipercayai tergelincir lalu jatuh ke
dalam cerun.
“Keadaan itu menyebabkan mangsa tercampak keluar sebelum dihempap jentera tersebut dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mazlan memberitahu, kemalangan kedua melibatkan sebuah jentolak yang dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun di kawasan Ladang Bonanza, Laloh di sini kira-kira pukul 3.30 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa sedang bekerja di ladang tersebut dan memandu jentera itu untuk kerja-kerja membuat teres.
“Jentolak itu dipercayai tergelincir daripada laluannya dan jatuh ke dalam gaung sedalam lebih kurang 100 meter.
“Mangsa yang tersepit di dalam jentera itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,”ujarnya.
Mazlan berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada jentera dipandu mangsa gagal dikawal sehingga terjatuh ke dalam gaung.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE.