ALOR GAJAH – Pihak polis membuka kertas siasatan berhubung penularan klip video seks membabitkan Cikgu Fadilah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, tindakan itu dibuat selepas guru wanita terbabit tampil membuat laporan kepada polis.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).
“Cikgu Fadilah membuat laporan kerana tidak berpuas hati apabila mendapati video seks dirinya tersebar,” katanya ringkas kepada pemberita.
Menurut beliau, setakat ini siasatan awal yang dilakukan terhadap telefon bimbit individu digelar ‘Abang CCTV & Wiring’ tidak menjumpai kesalahan pornografi.
Katanya, kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai skandal seks seorang guru wanita dengan lelaki berstatus suami orang digelar ‘Abang CCTV & Wiring’.
Kontroversi itu tercetus apabila beberapa tangkap layar aplikasi WhatsApp memaparkan perbualan lucah didakwa membabitkan pasangan itu yang disyaki ditularkan isteri lelaki berkenaan.
Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Melaka menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM5,000 ke atas Cikgu Fadilah dan ‘Abang CCTV & Wiring’ atas kesalahan cuba melakukan zina pada 28 Februari lalu.
Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin menetapkan hukuman itu selepas tertuduh, Nur Fadilah Zainal, 31, dan Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, 31, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati melakukan percubaan persetubuhan haram dengan pasangan bukan isteri atau suami yang sah di sisi syarak.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM5,000.-KOSMO! ONLINE