MUNICH – Bayern Munich meletakkan nama pemain sayap Liverpool, Cody Gakpo dalam senarai pendek perpindahan musim panas ini selepas kelab itu gagal mendapatkan khidmat bintang Bayer Leverkusen, Florian Wirtz.
Juara Bundesliga itu kini giat mencari pemain sayap kiri baharu dan melihat Gakpo sebagai calon sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut, lebih-lebih lagi selepas Wirtz dijangka berhijrah ke Liverpool.
Menurut laporan, Gakpo boleh menjadi ‘korban’ susulan kemasukan Wirtz ke Anfield dan Liverpool sedia mendengar tawaran bersesuaian bagi pemain antarabangsa Belanda itu.
Sepanjang musim 2024/25, Gakpo mempamerkan prestasi konsisten apabila meledak 18 gol dalam semua kejohanan dan menjadi pemain yang cukup digemari barisan pengurusan Bayern.
Pemain berusia 25 tahun itu menyertai Liverpool dari PSV Eindhoven pada Januari 2023 dengan nilai £35 juta (RM199 juta) dan setakat ini telah meledak 41 gol dalam 128 penampilan, termasuk membantu The Reds memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini.
Di pentas antarabangsa, Gakpo turut cemerlang apabila muncul penjaring terbanyak Euro 2024 menyaksikan Belanda mara ke separuh akhir dan kini memiliki 15 gol dalam 38 penampilan.
Selain itu, Bayern juga mempertimbangkan beberapa nama lain termasuk Kaoru Mitoma dari Brighton dan Rafael Leao (AC Milan) selepas minat terhadap bintang Crystal Palace, Eberechi Eze dikatakan tidak serius.
Eze sebelum ini mencuri tumpuan apabila meledak gol kemenangan Palace dalam aksi final Piala FA menewaskan Manchester City, namun klausa pelepasannya bernilai £60 juta (RM342 juta) dilihat terlalu tinggi buat Bayern buat masa ini. – AGENSI