SHAH ALAM – Dua penyamun termasuk memakai kopiah diburu selepas aksi mereka memecah masuk sebuah sekolah rendah agama swasta di Bukit Jelutong tular menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Kedua-dua suspek turut melarikan wang tunai RM1,600 dalam kejadian dikatakan berlaku antara pukul 10.40 hingga 11.30 malam pada 10 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 3.09 petang sehari selepas kejadian daripada seorang lelaki yang merupakan timbalan pengarah sekolah tersebut.
Katanya, kedua-dua suspek telah memecah masuk melalui pintu belakang bangunan sekolah.
“Semakan dibuat pihak sekolah itu mendapati sejumlah RM100 yang disimpan di dalam peti wang tunai koperasi serta RM1,500 di dalam laci telah hilang.
“Polis sedang berusaha keras untuk mengesan dan menangkap suspek pada kadar segera. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohamad Hanafi di talian 010-3727932,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 kanun keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan bagi kesalahan kedua juga dikenakan denda atau sebat, sekiranya disabitkan kesalahan.
Ketika ditanya mengenai dakwaan anak kepada pemilik sekolah itu berhubung polis menyatakan video CCTV tidak jelas, Mohd. Iqbal menegaskan pihaknya akan memanggil pengadu untuk memberikan kenyataan lanjut.
“Kita minta pengadu menjelaskan siapa polis yang cakap sedemikian. Kalau tengok (CCTV) adalah jelas. Mungkin ada salah komunikasi.
“Pihak kami sudah menerima semua rakaman CCTV dan sedang diproses,” jelasnya.
Terdahulu, tular rakaman CCTV yang dimuat naik di laman Instagram penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice yang memaparkan aksi penjenayah memecah masuk premis itu.
Malah, seorang daripada anak pemilik sekolah swasta itu kemudiannya telah menyatakan premis itu tiga kali dipecah masuk dipercayai oleh individu sama. – KOSMO! ONLINE