PASIR PUTEH – Kematian seorang pekerja pembinaan di kawasan landasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Permatang Sungkai di sini kelmarin bukannya disebabkan terjatuh gerabak kereta api.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Zakaria berkata, siasatan awal mendapati mangsa rebah di lokasi akibat serangan jantung semasa menarik wayar elektrik.
Justeru, polis menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan lelaki itu terjatuh kereta api seperti yang ditularkan di media sosial.
“Kejadian berlaku ketika mangsa bekerja di lokasi kejadian dan tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap mangsa atau kes jenayah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki maut di tepi landasan ECRL di Kampung Permatang Sungkai.
Lelaki yang merakamkan video itu mendakwa mangsa maut akibat terjatuh kereta api meskipun perkhidmatan ECRL dijangka beroperasi pada Januari 2027. – KOSMO! ONLINE