PETALING JAYA – UMNO masih belum menerima secara rasmi surat peletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz setakat ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu memandang serius niat peletakan jawatan beliau kerana ingin menyertai Parti Keadilan Rakyat.
Beliau berkata adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakharmonian di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Sehingga tercetus pula prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiakawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri di kalangan ahli akar umbi,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahliannya dalam parti itu yang dianggotainya sejak 1997.
Tengku Zafrul dalam satu kenyataan memaklumkan surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar kepada pucuk pimpinan parti.
Menurut beliau, tindakan meninggalkan UMNO bukanlah satu keputusan yang mudah, memandangkan parti tersebut merupakan satu-satunya wadah politik yang disertainya sepanjang lebih dua dekad.- KOSMO! ONLINE