KLUANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang dilanggar treler dalam kejadian di Kilometer (KM) 55, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan tengah malam tadi.
Kejadian pada pukul 12.05 tengah malam itu melibatkan motosikal Honda EX5 ditunggang lelaki Pakistan, Sajjad Ali, 30, yang bekerja di sebuah ladang ternakan haiwan di Kluang dan treler dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, nahas berlaku ketika mangsa dan kenderaan berat itu dalam perjalanan dari arah Simpang Renggam menghala ke Johor Bahru.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa yang berada di lorong kiri secara tiba-tiba dilanggar dari belakang menyebabkan lelaki itu terjatuh sebelum diseret sejauh 100 meter.
“Akibatnya, mangsa cedera parah di badan sebelum disahkan meninggal di lokasi,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin, pemandu treler telah ditahan namun ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu bebas pengambilan bahan terlarang.
“Permohonan reman akan dibuat ke atas pemandu treler hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE