KUALA SELANGOR – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori di Jalan Parit Mahang, Jeram di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 2.31 petang dengan siasatan awal mendapati lori dari arah jalan utama menghala ke Parit Mahang.
Katanya, penunggang motosikal berusia 17 tahun dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian depan lori tersebut.
“Perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak atas jalan dan disahkan meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Tanjong Karang bagi proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Bilik Geraka. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE