PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mempelawa orang ramai menghadiri Karnival Belia Madani 2.0 yang diadakan sehingga 1 Jun ini.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti dijalankan seperti pesta makanan, saringan kesihatan percuma, Jualan Ehsan Rahmah, gerai jualan dan banyak lagi.
Katanya, beliau akan menyempurnakan perasmian karnival itu pada pukul 2 petang Ahad ini dan berharap dapat berjumpa seramai mungkin pengunjung di situ.
“Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan dan rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) sedang menganjurkan Karnival Belia Madani 2.0. Karnival ini telah bermula semalam dan akan berlangsung sehingga 1 Jun 2025.
“Saya menjemput warga Parlimen Pandan dan penduduk berdekatan hadir beramai-ramai ke Tapak Letak Kenderaan berhadapan Hospital Ampang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi baru-baru ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun dan sedang menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025.
Peletakan jawatan tersebut susulan kekalahan beliau dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE