KUALA LANGAT – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat menyasarkan jualan lembu korban sebanyak 2,000 ekor menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Menurut Pengerusinya, Abdul Razak Khasbullah, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran tersebut berdasarkan rekod jualan tahun lepas.
“Seperti tahun sebelum ini kita menyasarkan jualan lembu tempatan sebanyak 1,800 hingga 2,000 ekor untuk ibadah korban.
“Kita mempunyai 10 orang penternak yang mampu menampung permintaan khususnya untuk umat Islam di Lembah Klang dan Selangor,” katanya ketika meninjau ladang ternakan milik Muhammad Faiz Harol Isam di Pulau Nyatoh, baru-baru ini.
Abdul Razak berkata, walaupun berlaku peningkatan kos makanan haiwan, harga lembu yang dipasarkan masih dikekalkan bermula daripada RM5,000 mengikut saiz.
“Sambutan amat menggalakkan daripada pembeli dalam kalangan jawatankuasa masjid, syarikat korporat dan individu.
“Apa yang membanggakan ialah majoriti pembeli yang membuat tempahan adalah mereka yang sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Ini disumbang oleh faktor kualiti ternakan yang baik dan perkhidmatan sembelihan untuk kemudahan pembeli,” ujarnya.
Mengulas mengenai khidmat penyembelihan, Abdul Razak menerangkan pihaknya turut melaksanakan ibadah korban di dua pusat penyembelihan di Pulau Nyatoh dan di Kampung Endah dekat sini.
Tambahnya, bagi khidmat penyembelihan, caj sebanyak RM500 akan dikenakan oleh pemilik pusat penyembelihan.
Orang ramai boleh melayari Facebook PPK Kuala Langat untuk membuat pesanan bagi melaksanakan ibadah korban tahun ini. – KOSMO! ONLINE