MARAN – Seorang pembantu kedai makan maut selepas motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya terbabas di Kilometer 167.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu berlaku ketika mangsa Wan Muhammad Muzaffar Wan Mazlan,18, dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur.
“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelah kanan dan mangsa terjatuh atas jalan.
“Akibat kemalangan mangsa mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan awal lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian cuaca baik dan permukaan jalan basah selepas hujan. – KOSMO! ONLINE