PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kestabilan sistem politik, kejelasan dasar terutamanya dasar ekonomi serta kecekapan pelaksanaan adalah prasyarat utama yang perlu ada untuk memastikan kejayaan tadbir urus, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri.
Namun begitu jelas Perdana Menteri, kejayaan itu tidak akan lengkap tanpa penglibatan aktif generasi muda dan anak tempatan, termasuk dari Sabah.
Jelas beliau, mereka perlu dilibatkan secara langsung dalam pembangunan agar dasar dan projek yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta dilaksanakan secara berkesan.
“Saya turut menekankan kepentingan pendedahan awal dan latihan kemahiran yang sesuai kepada tenaga kerja baharu, agar mereka dapat kembali menyumbang sebagai individu yang berkebolehan dan berdaya saing dalam kapasiti pekerjaan masing-masing.
“Sesungguhnya, kejayaan Malaysia dalam menarik pelaburan serta membina kerjasama strategik tidak datang daripada retorik semata-mata, tetapi melalui dasar yang jelas, pentadbiran yang telus, serta tindakan yang berprinsip dan konsisten.
“Inilah asas kita dalam membina masa depan Malaysia yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan,” tulisnya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Terdahulu, Perdana Menteri itu berucap semasa Majlis Pelancaran Fasa Pertama Projek Esteel di Sabah pagi tadi. – KOSMO! ONLINE.