MELAKA – Seorang pemandu e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak sebuah kedai emas dan mencederakan wanita warga emas, minggu lalu.
Tertuduh, Melvin Yen Wei Shern, 29, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Hukuman terhadap tertuduh bagaimanapun ditangguhkan pada 10 Jun depan bagi menunggu serahan fakta kes oleh pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja mencederakan Koh Kim Lye, 70, di Kedai Emas Tai Kwong pada pukul 11 pagi di Jalan Jawa, Kampung Jawa dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Mei 2025.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Difahamkan tertuduh nekad merompak kedai emas tersebut selepas terdesak untuk membayar hutang beberapa along melibatkan jumlah keseluruhan pinjaman mencecah lebih RM70,000.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan, manakala Peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili tertuduh tidak membuat sebarang bantahan.
Mahkamah kemudian menetapkan untuk tidak membenarkan jaminan.
Kosmo! pada 22 Mei lalu melaporkan seorang lelaki dicekup orang ramai selepas disyaki memukul wanita warga emas menggunakan tukul besi sebelum melarikan barang kemas seberat 15.36 gram dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya.
Suspek berusia 31 tahun berjaya dicekup beberapa pekerja kedai roti dan kafe selepas dia terjatuh ketika melarikan ke arah jambatan Melaka pada jarak 200 dari lokasi samun. – KOSMO! ONLINE