fbpx

Pelumba MotoGP kemalangan, retak tulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARINI berjaya mengutip 38 mata iaitu pencapaian kedua terbaik dalam kalangan pelumba Honda musim ini. - AFP

TOKYO – Pelumba Honda, Luca Marini terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan serius dalam kemalangan ketika sesi ujian di Litar Suzuka, Jepun kelmarin.

Marini yang sedang menguji jentera Honda CBR1000RR-R sebagai persiapan menghadapi perlumbaan ketahanan Suzuka 8-Hour tahun depan, dilaporkan terjatuh dengan kuat pada hari kedua ujian selepas mencatat sesi pembukaan yang cemerlang.

Menurut kenyataan rasmi Honda HRC, pinggul kiri pelumba Itali itu disahkan terkehel selain kecederaan pada ligamen lutut kiri, retak tulang selangka dan sternum serta keretakan pada paru-paru kanan.

“Selepas kemalangan itu, Marini segera dibawa ke hospital berdekatan dan telah distabilkan. Buat masa ini, dia masih dirawat dan akan terus berada di Jepun sehingga benar-benar pulih dan selamat untuk dibawa pulang,” kata kenyataan itu.

Honda turut memberi jaminan pasukannya akan memberikan sokongan penuh kepada proses pemulihan Marini.

“Kami akan pastikan dia menerima penjagaan terbaik sepanjang tempoh pemulihan,” jelas jurucakap pasukan.

Marini kini menduduki tangga ke-13 dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dengan 38 mata iaitu kedua terbaik dalam kalangan pelumba Honda musim ini dan pencapaian terbaiknya setakat ini adalah tempat kelapan.

“Saya baru sahaja mula berasa serasi dengan jentera dan sistem. Kecederaan ini memang satu tamparan besar, tapi saya akan kembali lebih kuat,” kata Marini.

Marini sebelum ini turut mendedahkan sedang berbincang dengan Honda untuk menyambung kontraknya yang bakal tamat hujung musim ini, namun kecederaan ini dijangka menghalangnya daripada menyertai pusingan Aragon hujung minggu depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI