PETALING JAYA – Pelakon sitkom popular Santan Berlada, Khairul Azhar meninggal dunia di kediamannya di Taman Sri Andalas, Klang, pukul 10.37 malam tadi.
Berita duka itu dikongsi anak angkat yang juga pembantu peribadinya dikenali sebagai Aizat yang menyatakan Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta.
Penyanyi era 90-an, Anna Zanariah turut berkongsi mengenai pemergian pesara Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu menerusi Facebook.
“Tahun 1997 zaman bergelar artis, aku dah kenal arwah. Kali pertama jumpa di RTM untuk program HMI. Aku segmen nyanyi, arwah segmen komedi.Tiba-tiba boleh pula jumpa di organisasi yang sama.
“Terus bekerjasama sejak tahun 2000 hingga arwah bersara wajib. Dah bersara pun, sambung lagi kontrak beberapa tahun sebab ‘big boss’ suka.
“Terlalu banyak kenangan bersama. Arwah selalu jadi tempat rujukan kalau dapat ‘job emcee’. Selamat pulang abang Khairul Azhar Santan Berlada, dah tiada mentor saya. Pergi di malam Jumaat yang mulia. Didoakan syurga buat abang Khairul Azhar. Al Fatihah,” tulisnya.
Selain berlakon dan mengacara, Khairul pernah muncul dengan trio Santan Berlada bersama Allahyarham Ali Mamak dan Accapan menghasilkan satu album sekitar 1993.
Allahyarham yang merupakan pemain dram untuk kombo MPK banyak muncul dalam drama serta telefilem selain pernah membintangi filem Mat Som bersama Imuda.
Arwah yang kehilangan isteri akibat kanser darah tahun lalu dan mempunyai dua anak hasil perkahwinan mereka menghembuskan nafas terakhir pada usia 70 tahun.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda, Klang selepas solat Jumaat. – KOSMO! ONLINE