KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal negara, Muhammad Nur Aiman Rosli membuktikan statusnya sebagai pakar ujian masa apabila merangkul pingat emas acara itu buat kali keenam berturut-turut pada Kejohanan Berbasikal Jalan Raya Kebangsaan 2025 di Pagoh, Johor hari ini.
Pelumba berusia 26 tahun itu yang mewakili Terengganu Cycling Team (TSG) menamatkan perlumbaan sejauh 40.6 kilometer (km) dengan catatan masa 50 minit 11.405 saat (s) di laluan sekitar Masjid Jamek Kampung Baharu Batu 28.
Kejayaan itu mengukuhkan penguasaan Nur Aiman dalam disiplin ujian masa sejak kali pertama menjuarainya pada 2019, menjadikannya pelumba paling konsisten dalam kategori tersebut setakat ini.
“Alhamdulillah, saya dapat mengekalkan kejuaraan buat kali keenam. Terima kasih kepada TSG yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada saya.
“Laluan hari ini (semalam) memang mencabar tetapi saya berpuas hati dengan kayuhan saya. Ini petanda positif dan saya kini bersedia untuk menghadapi acara lebuh raya pula,” katanya.
Naib juara menjadi milik pelumba Pro Cycling, Dealton Nur Arif Prayogo dengan catatan 51 minit 13.070s , manakala tempat ketiga dimenangi seorang lagi wakil TSG, Muhammad Nur Aiman Mohd. Zariff menerusi masa 52:02.463s.
Kejayaan TSG tidak terhenti di situ apabila seorang lagi pelumba berbakat mereka, Kee Zhe Yie turut cemerlang mengungguli kategori lelaki bawah 23 tahun (B-23) dalam acara yang sama.
Kee Zhe Yie dari TSG A mencatat masa 50:55.535s untuk merangkul emas sekali gus mempamerkan potensi besar sebagai pelapis negara.
Dia menewaskan pelumba Perak A, Muhammad Adam Hakimi Nazuan yang meraih perak dengan catatan 52:23.156s dan pgangsa menjadi milik Muhammad Nazirul Aniq Abd. Rahman dari Johor yang merekodkan masa 53:14.426s.
Kejohanan yang berlangsung sehingga esok itu menghimpunkan pelumba terbaik dari seluruh negara termasuk wakil dari pasukan negeri, kelab profesional serta pembangunan program kebangsaan. – KOSMO! ONLINE