PRESIDEN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan optimis saingan Liga Malaysia (Liga M) bebas daripada sebarang isu tunggakan gaji menjelang musim baharu 2025/26 yang akan membuka tirai rasmi pada Ogos depan.
Kata Ab Ghani, pelaksanaan Peraturan Kewangan Adil (FFP) dapat mengawal hasrat pasukan untuk berbelanja besar kerana mereka perlu belanja mengikut kemampuan yang ditetapkan.
“Kita akan kawal kewangan pasukan dengan FFP kerana selepas ini, kita akan awasi mereka dengan lebih ketat iaitu setiap bulan. MFL pun berbelanja besar dengan membeli perisian untuk FFP dan ini seperti pelesenan juga.
“Pihak pengurusan setiap perlu memasukkan sendiri perbelanjaan mereka dan apabila sudah sampai had, sistem itu akan menyekat mereka. Kita juga sentiasa menasihatkan pasukan mengenai perkara ini.
“Selain itu, pasukan juga perlu buat deklarasi mengenai bajet yang mereka ada, sama ada betul atau tidak mereka ada amaun yang disebutkan. Itu yang paling penting.
“Kita pun sudah katakan pada pasukan apa yang perlu mereka lakukan. Jadi saya yakin dan percaya boleh, tidak ada masalah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Bersama Persatuan Bola Sepak Negeri (FA) dan pasukan bola sepak (FC) di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang tadi.
Sebagai rekod, semua kelab yang bertanding dalam saingan Liga Super musim depan perlu mematuhi Peraturan Kewangan Adil (FFP) dengan penguatkuasaan mekanisme gaji siling sebanyak 80 peratus kepada setiap pasukan.
Bagi memastikan pematuhan, dua penyerahan utama akan dilaksanakan sebelum musim bermula iaitu Penyerahan Bajet dan Penyerahan Pra-Musim, manakala lima penyerahan berkala akan dibuat sepanjang musim.
Semua dokumen kewangan termasuk penyata interim, penyata pendapatan dan perbelanjaan, serta pengesahan tiada tunggakan kepada kakitangan dan agensi berkaitan akan disemak secara menyeluruh oleh Unit FFP.