PONTIAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran melantik Menteri Ekonomi baharu sebelum pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijadual pada Julai ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, RMK-13 merupakan dokumen penting yang perlu diurus dengan baik dan teliti sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.
Katanya, RMK-13 telah disediakan oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan kebiasaannya akan dibentangkan oleh Perdana Menteri.
“Bagaimanapun, pelantikan Menteri Ekonomi baharu itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai pada hari ini.
Pada Mac lalu, Kementerian Ekonomi dilaporkan sedang memuktamadkan penyediaan dokumen RMK-13 yang dijangka dibentangkan pada Persidangan Parlimen pada Julai depan.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan memberi penghargaan kepada Rafizi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik yang telah berkhidmat.
“Sebagai kawan saya mengucapkan terima kasih atas segala khidmat mereka. Keputusan mereka itu adalah keputusan dalaman parti mereka,” katanya.
Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai depan selepas mereka tewas pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 minggu lepas. – KOSMO! ONLINE