MELAKA – Pihak pendakwaan kes skandal seks tular, Cikgu Fadilah dan ‘Abang CCTV & Wiring’ menegaskan pasangan itu seharusnya dikenakan hukuman rejam sampai mati sekiranya pelaksanaan dibuat mengikut hukum hudud.
Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin yang berhujah di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin berkata, pada dasarnya terdapat faktor menunjukkan kedua-dua tertuduh melakukan zina.
Katanya, pendakwaan bagaimanapun hanya dapat dibuat mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 atas kesalahan cubaan zina yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya.
“Dalam kes ini, pihak pendakwaan ingin menyatakan tidak ada satu yang khusus (enakmen) berkaitan kesalahan persetubuhan luar nikah atau berzina antara seorang yang bukan suami isteri.
“Kalau kita kembali kepada kedudukan dalam hukum syarak, kedua-dua tertuduh ini pesalah yang pernah berkahwin dan mengikut hukum hudud mereka perlu direjam sampai mati.
“Tapi memandangkan undang-undang yang diberikan kepada pihak kita, hukuman maksimum yang dibenarkan denda sehingga RM5,000 atau yang mana kalau kita lihat dalam syarak amat jauh (ringan) sekali,” hujahnya.
Terdahulu, dalam prosiding itu, tertuduh, Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, 31, dan Nur Fadilah Zainal, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka.
Mengikut pertuduhan, mereka berdua didapati melakukan percubaan persetubuhan haram dengan pasangan bukan isteri atau suami yang sah di sisi syarak di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai di sini pukul 9 malam, 28 Februari lalu.
Hujah Atras, hukuman setimpal perlu diberikan sebagai pengajaran ke atas tertuduh dan masyarakat Islam di seluruh negara.
“Tertuduh wanita merupakan warga pendidik dan sudah pasti keputusan mahkamah ini akan menjadi perhatian dan panduan pada masa akan datang, manakala tertuduh lelaki seorang suami, namun telah melakukan perkara di luar batas,” katanya.
Selepas mendengar hujahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM5,000 bagi setiap tertuduh atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Dalam prosiding itu, Atras turut dibantu Pendakwa Syarie Radzwan Abdullah.- KOSMO! ONLINE