KLANG – Seorang lelaki warga emas maut selepas empat hari dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) selepas terlibat kemalangan jalan raya, Isnin lalu.
Mangsa berusia 78 tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.13 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati kemalangan sebelum ini melibatkan dua penunggang motosikal di persimpangan tiga Jalan Limau – Jalan Belimbing, Meru di sini.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.50 petang dengan warga emas yang menunggang motosikal telah membelok ke kanan untuk memasuki Jalan Limau.
“Pada masa sama, sebuah motosikal ditunggangi lelaki warga asing dari arah Persiaran Hamzah Alang menuju ke Jalan Iskandar telah bertembung dengan mangsa.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal telah dihantar ke HTAR untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, pihaknya kemudiannya telah menerima pemakluman kematian lewat melibatkan lelaki warga emas itu awal pagi ini.
Ujarnya, penunggang motosikal warga asing berusia 47 tahun tersebut yang patah tangan kiri dan cedera di bahagian mata masih dirawat di hospital sama.
“Kita masih belum dapat merakam keterangan warga asing itu, namun siasatan awal mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor V. Kumarendran di talian 017-5253136 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE