PETALING JAYA – Malaysia bakal dinobatkan sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) bagi penggal 2025–2029.
Laman Facebook Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming ketika memaklumkan perkara itu berkata, kejayaan besar tersebut adalah satu pengiktirafan tertinggi dunia kepada Malaysia.
“Delegasi Malaysia telah diberi penghormatan menyampaikan enam ucapan termasuk ucaptama di persidangan global ini sekali gus mencipta sejarah mengangkat martabat negara.
“Yang lebih membanggakan Malaysia bakal dinobatkan sebagai Presiden UN Habitat untuk penggal 2026-2029. Marilah kita terus berdiri teguh bersama kerajaan Madani yang telah mengharumkan nama negara kita,” kata kenyataan itu hari ini.
Semalam, media melaporkan delegasi negara diketuai Kor Ming di Nairobi, Kenya sedang berusaha untuk mencipta sejarah Malaysia menjadi Presiden UN Habitat bagi penggal 2025–2029.
Persidangan UN Habitat ialah badan pembuat keputusan peringkat tertinggi mengenai pembandaran mampan dan penempatan manusia dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Jawatan presiden dipegang secara bergilir dalam kalangan kumpulan serantau dalam sistem PBB.
Presiden semasa adalah dari Amerika Latin dan Caribbean, diwakili oleh Mexico.
Presiden seterusnya akan datang dari rantau Asia-Pasifik dan akan berkhidmat selama empat tahun dari 2025 hingga 2029. – KOSMO! ONLINE