PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa keputusan permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Mara Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada Isnin, 16 Jun 2025.
KPT dalam kenyataan memaklumkan, keputusan permohonan itu meliputi pengajian di peringkat Sijil, Asasi dan Diploma untuk sesi akademik 2025/2026 di universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti (KK), serta institusi di bawah Mara BPT.
Kata kementerian itu, calon boleh membuat semakan keputusan mulai 16 Jun 2025 pada pkul 12 tengah hari hingga 25 Jun 2025, pukul 5 petang melalui pelbagai platform atas talian.
“Antaranya, melalui pautan (https://jpt.utm.my, https://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, https://jpt.ums.edu.my, https://jpt.umt.edu.my atau melalui aplikasi mobile UPUPocket di telefon pintar,” jelas KPT.
Dalam kenyataan sama, KPT mengingatkan calon yang berjaya ditawarkan tempat perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran bermula 17 Jun hingga 25 Jun 2025 melalui laman web institusi masing-masing.
“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan Mara BPT kepada yang berjaya mulai 17 Jun 2025 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.
“Hanya pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan rayuan melalui UPUOnline kemasukan ke UA dan politeknik di https://upu.mohe.gov.my mulai 16 Jun 2025, pukul 12 tengah hari sehingga 25 Jun 2025, pukul 6 petang,” katanya.
Tambahnya, rayuan ke kolek komuniti dan Mara BPT boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.
KPT turut menegaskan bahawa tawaran tempat bagi sesi akademik 2025/2026 adalah muktamad, dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian tidak akan dipertimbangkan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan
mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan
“Untuk maklumat lanjut, calon dinasihatkan untuk sentiasa merujuk saluran rasmi KPT dan institusi pengajian masing-masing,” kata KPT. – KOSMO! ONLINE