WROCLAW, Poland – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca mengakui puas dapat membantu pasukan menamatkan kemarau hampir empat tahun tanpa trofi selepas menjuarai Liga Konferens Eropah dengan menewaskan Real Betis awal pagi semalam.
Skuad The Blues mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1 dengan menjaringkan empat gol hasil penyudah Enzo Fernandez, Nicolas Jackson, Jadon Sancho dan Moises Caicedo untuk menang 4-1.
Kata Maresca, keputusan tersebut boleh dianggap sebagai tanda bahawa era kebangkitan baharu pasukan Chelsea sudah bermula semula.
“Pada babak pertama, saya akui taktikal pasukan tidak begitu baik apabila kita gagal menguasai perlawanan dengan memberi ruang untuk lawan menjaringkan gol. Mungkin kita terlalu meraikan kejayaan menewaskan Nottingham Forest baru-baru ini.
“Namun, situasi berbeza pada babak kedua apabila pemain mula mempamerkan mentaliti juara dengan melakukan serangan bertali arus ke kubu lawan dan saya bangga apabila kita dapat keputusan ini.
“Secara jujur, saya tidak mahu meletakkan sasaran spesifik musim depan tetapi ini adalah permulaan yang baik dan saya harap kita akan terus kecapi kejayaan lebih besar nanti,” katanya.
Kemenangan Chelsea itu mengesahkan status pasukan menjadi kelab pertama yang melengkapkan semua kejuaraan Eropah selepas pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Europa (UEL) sebelum ini. – AGENSI