fbpx

Joey Daud nak hiburkan peminat sampai kiamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS 30 tahun, Joey akhirnya memberanikan diri hadir dengan single baharu berjudul Wamwamsam terbitan Luncai Emas. – AFIQ RAZALI

TIGA dekad menyepi dari dunia nyanyian, rajuk Joey Daud akhirnya bernoktah selepas ‘termakan’ pujukan maestro muzik, Datuk M. Nasir.

Kedengaran seperti lucu tetapi itu realiti yang dilalui Joey yang baru-baru ini melancarkan single terbaharu berjudul Wamwamsam.

Menurut Joey atau Zulkifli Daud, 52, keputusan untuk tidak melancarkan sebarang single dalam tempoh 30 tahun disebabkan trauma susulan dua albumnya di bawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn. Bhd. pernah digam sehingga ke Indonesia sekitar tahun 1990-an.

“Saya ambil masa 30 tahun untuk melawan rasa trauma sebab dua album iaitu Beradu Suratan dan Joey pernah digam. Kalau boleh tak mahu situasi sama berulang lagi.

“Sebenarnya untuk melancarkan lagu ini pun, rasa sangat risau dan gementar sebab fikir sama ada pendengar masih mahu menerima atau tidak sebab usia saya pun sudah macam pokok (bertambah usia).

“Namun, sekiranya Wamwamsam tak boleh ‘jual’, mungkin akan jadi lagu terakhir saya,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran single baharunya itu baru-baru ini.

M. Nasir (tengah) berjaya memujuk Joey (kiri sekali) untuk kembali terjun dalam dunia nyanyian menerusi single Wamwamsam.  

Sempat mengimbau memori hitam tersebut, dia berkata, albumnya pernah mendapat sambutan hebat di negara jiran juga, namun berita gembira itu hanya sementara sahaja.

“Album saya pernah menerima sambutan hebat di Indonesia dengan jumlah unit terjual mencecah 800,000 tetapi dilaporkan terbakar apabila syarikat rakaman yang terlibat, BMG Indonesia turut terbakar.

“Ketika itu berlaku rusuhan teruk di Indonesia dan banyak bangunan dibakar, termasuk pejabat BMG Indonesia yang terbitkan album saya sehingga tak berpeluang rasa hasilnya.

“Sejak peristiwa itu, saya mula rasa teruk sangat sebab ada sahaja perkara buruk berlaku setiap kali lancarkan album. Lagu ini boleh dikatakan percubaan semula,” jelasnya.

Namun rasa rajuk dan hatinya mula terbuka untuk melancarkan single tersebut selepas beberapa kali dipujuk M. Nasir dan isteri, Watie Sadali.

Makan pujukan

Katanya, pujukan dan semangat daripada dua individu tersebut untuk melihat dia kembali rancak dalam dunia nyanyian juga antara sebab utama Wamwamsan direalisasikan.

“Sebelum ini, setiap kali saya bertemu M. Nasir, pasti dia akan pujuk supaya saya keluar dan menyanyi. Isteri juga tidak pernah berhenti memujuk supaya saya kembali aktif. 

“Sejujurnya, sehingga sekarang saya masih tiada kekuatan. Bukan putus asa, namun lebih kepada pasrah sehingga mula aktif mencuba cabang seni lain iaitu berlakon.

“Insya-Allah kalau dapat sokongan padu, saya akan hiburkan sampai kiamat,” katanya lagi.

Bercerita tentang Wamwamsam yang merupakan hasil ciptaannya bersama dua komposer muda, iaitu Ilham Nasir dan Hidayat Nasir, Joey enggan meletakkan sebarang harapan yang tinggi sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pendengar untuk menilai.

Jelasnya, lagu tersebut tidak hanya sekadar lontaran suara tetapi berkisarkan perjalanan kehidupan yang terbentuk berasaskan pengalaman, pemerhatian sosial dan kenangan lama.

“Mesej yang saya sampaikan adalah tentang kepentingan ilmu dan adab bagi generasi muda pada masa akan datang.

“Lagu ini tidak hadir kosong atau sekadar hiburan tetapi sinikal dan sarat dengan mesej. Kena dengar dan nilai sendiri,” ujarnya lagi.

Menariknya, Joey menyanyikan lagu tersebut dengan menggunakan bahasa pelat ‘M’ dalam Wamwamsam yang sebelum ini dipopularkan oleh watak Daud M lakonannya dalam filem 18 Puasa di Kampong Pisang karya Allahyarham Mamat Khalid.

“Tiada isu pun guna bahasa ‘M’ ini sebab ramai suka. 

“Itulah kelainan kami ingin ketengahkan dan lancarkan sesuatu yang orang tak boleh jangka.

“Lagu ini adalah runut bunyi untuk filem Daud M Origin yang bakal diarahkan Amen Khalid dan akan memulakan penggambaran pada hujung tahun ini dan video muzik (MV) Wamwamsam sebenarnya teaser,” tuturnya.

MV lagu terbitan Luncai Emas itu turut diserikan dengan penampilan beberapa pelakon lain antaranya Kazar, Yah Kuchai serta penampilan istimewa M. Nasir yang turut bertutur dalam bahasa ‘M’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI