fbpx

Harap tiada lagi pihak main isu sentimen agama, menfitnah – Hannah Yeoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hannah ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap agar tiada lagi mana-mana pihak memainkan isu sentimen agama dan mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung buku biografinya “Becoming Hannah: A Personal Journey”.

Menurut Ahli Parlimen Segambut itu, beliau juga bersyukur apabila keadilan berpihak kepadanya selain keputusan Mahkamah Tinggi hari ini turut membuktikan segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dan buku itu adalah tidak benar.

“Setelah lama difitnah, akhirnya keadilan memihak kepada saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada peguam saya yang bekerja keras untuk mendapatkan keadilan kepada saya dalam kes ini. Saya berharap selepas ini tiada lagi pihak-pihak yang memainkan sentimen-sentimen agama dan mengeluarkan fitnah yang langsung tidak benar mengenai saya dan buku saya,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes hari ini.

Katanya, sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, tidak sepatutnya mana-mana pihak memainkan sentimen agama kerana ia dibaratkan ‘bermain dengan api’.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Kamarul Zaman Yusoff membayar ganti rugi RM400,000 kepada Hannah Yeoh berhubung dua hantaran fitnah dalam laman sosial Facebook lapan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Hannah terhadap  Kamarul Zaman selain mendapati Menteri Belia dan Sukan itu berjaya membuktikan kesnya.

Bagaimanapun semasa prosiding, Kamarul Zaman tidak hadir ke mahkamah.

Berdasarkan saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei, 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam kenyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan mempunyai alasan yang kuat.

Sementara Hannah Yeoh dalam keterangannya semasa perbicaraan memberitahu bahawa bukunya bertajuk `Becoming Hannah: A Personal Journey’ diulang cetak sebanyak 18 kali dan tidak pernah diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Hannah berkata, buku itu merupakan autobiografi tentang kehidupannya termasuk pengalaman peribadi dan penglibatan dalam politik

“Tiada bukti bahawa mana-mana orang Islam telah terpesong akidah dengan membaca buku berkenaan dan perkara itu telah disahkan oleh pemimpin Islam di negara ini,” katanya.

Justeru beliau juga menegaskan, hantaran-hantaran Facebook Dr. Kamarul Zaman antara 10 Mei dan 17 Mei 2017 jelas berniat untuk menyinggung perasaan, menghina dan memfitnahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI