fbpx

Hannah Yeoh menang saman, pensyarah diarah bayar RM400,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hannah (kanan) bersama peguamnya selepas prosiding kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff diperintah membayar ganti rugi RM400,000 kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berhubung dua hantaran fitnah di Facebook lapan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Hannah terhadap Kamarul Zaman selain mendapati Menteri Belia dan Sukan itu berjaya membuktikan kesnya.

Bagaimanapun, Kamarul Zaman tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Berdasarkan saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran antara 10 dan 17 Mei, 2017 mendakwa beliau mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam kenyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua hantaran tersebut tidak berunsur fitnah dan mempunyai alasan yang kuat.

“Sebagai pensyarah dan Muslim, saya mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu memandangkan saya bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian dan sebagai penganalisis politik, saya mempunyai hak untuk mengulas mengenai isu politik di Malaysia”.

Sementara Hannah Yeoh dalam keterangannya semasa perbicaraan memberitahu bukunya bertajuk `Becoming Hannah: A Personal Journey’ diulang cetak sebanyak 18 kali dan tidak pernah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Hannah berkata, buku itu merupakan autobiografi tentang kehidupannya termasuk pengalaman peribadi dan penglibatan dalam politik.

“Tiada bukti mana-mana orang Islam telah terpesong akidah dengan membaca buku berkenaan dan perkara itu disahkan oleh pemimpin Islam di negara ini,” katanya.

Justeru beliau menegaskan, hantaran Facebook Kamarul Zaman antara 10 dan 17 Mei 2017 jelas berniat untuk menyinggung perasaan, menghina dan memfitnahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI