KUALA SELANGOR – Seorang pelajar tingkatan lima sempat menghantar gambar terakhir ketika menghadiri kelas tambahan subjek Sejarah sebelum maut dalam kemalangan di Jalan Parit Mahang, Jeram di sini, semalam.
Allahyarham Muhammad Faris Mohd. Fadzli, 17, maut di lokasi kejadian apabila motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori dalam kejadian kira-kira pukul 2.31 petang.
Bapa Allahyarham, Mohd. Fadzli Kadar, 46, anak sulung daripada dua beradik itu keluar dari rumah bagi mengikuti kelas tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, Bestari Jaya, kira-kira pukul 7.20 pagi.
Kata tukang gunting itu, anaknya itu kemudiannya mengambil seorang rakan sekolahnya di Kampung Parit Mahang, Jeram.
“Sejurus tiba di sekolah, Faris ada menghantar gambarnya berswafoto kepada keluarga menerusi kumpulan WhatsApp kami. Dia kemudian pulang seketika ke rumah kira-kira pukul 1.15 tengah hari untuk meletakkan beg sebelum keluar menghantar rakannya.
“Tidak sangka ia gambar terakhir arwah yang meninggalkan kami buat selamanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 8 Ijok di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangi dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar lori dari arah bertentangan.
Kata Mohd. Fadzli, dia menerima khabar duka itu apabila dihubungi rakan arwah yang telah tiba di rumah selepas dihantar pulang, kira-kira pukul 2.15 petang. – KOSMO! ONLINE