MELAKA – Dua rakan baik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai polis sebelum merogol dan mengugut seorang siswi sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di dalam sebuah kereta, minggu lalu.
Tertuduh, Muhamad Syafiq Asyraf Jasarudin, 23, yang telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak termasuk bayi berusia dua bulan bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Pengakuan sama turut dibuat oleh rakan baiknya, Muhamad Nazhim Razali, 29, yang masih bujang.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan seorang perempuan berusia 19 tahun tanpa kerelaannya di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Bukit Rambai Utama pada pukul antara 9 malam sehingga 10 malam pada 22 Mei 2025.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh dengan niat bersama telah melakukan pemerasan terhadap mangsa sama dan seorang lagi lelaki berusia 20 tahun dengan cara mengugut untuk mencederakan wanita terbabit jika wang berjumlah RM3,000 tidak diberikan sehingga mangsa menyerahkan wang RM50 kepada tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan di kedai serbaneka di Taman Nirwana dalam daerah Melaka Tengah pada masa dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Dalam pada itu, kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai penjaja makanan turut didakwa telah menyamar sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis dengan menyatakan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan hantar ke lokap.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Perbuatan itu dilakukan di kawasan lapang Pantai Klebang pada masa dan tarikh sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan RM60,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh beserta syarat tambahan.
Peguam K. Shareveen yang mewakili Muhamad Syafiq bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung isteri serta dua anak masing-masing berusia tiga tahun dan dua bulan dengan pendapatan menjual takoyaki.
Peguam Ken Tan Chow Teng yang mewakili Muhamad Nazhim pula merayu atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai peniaga jalanan dan perlu menanggung ibu bapa yang mempunyai masalah kesihatan.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Rohatul hanya membenarkan Muhamad Syafiq diikat jaminan dengan jumlah jaminan RM13,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan tidak menganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Beliau kemudian menetapkan tarikh 7 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE