LARUT – “Saya nampak bumbung rumah Pak Long (bapa saudara) melayang tinggi macam layang-layang sebelum hempap bumbung rumah sendiri,” itu detik cemas dikongsi seorang penduduk apabila kediamannya di Kampung Simpang Tiga, Banggol Jas di sini dilanda ribut kuat semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, empat rumah mengalami kerosakan dengan dua daripadanya rosak teruk termasuk bumbung tercabut terbang akibat tiupan angin kencang secara tiba-tiba.
Mangsa, Mohd. Firo Mohd. Isa, 41, berkata, kejadian ribut itu kali pertama berlaku sejak dia menetap lebih 40 tahun di kampung berkenaan.
“Ribut datang dari arah bendang, mula-mula hujan lebat, lepas tu bunyi deruman kuat macam letupan seolah seperti dalam filem.
“Saya nampak bumbung Pak Long terbang tinggi melayang melepasi pucuk pokok dan hempap bumbung rumah saya pula,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Tiga Banggol Jas disini hari ini.
Mohd Firo berkata, dia yang ketika itu sedang duduk berbual bersama dua rakannya di hadapan rumahnya, bertempiaran lari masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri.
Menurutnya, sebahagian bumbung di bilik tidur rumahnya rosak dan serpihan kayu turut mengenai bahagian keretanya yang diletakkan di tepi rumah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohamad Akmal Kamarudin yang turut meninjau kawasan terjejas berkata, dua rumah dilaporkan rosak teruk, manakala dua lagi mengalami kerosakan kecil membabitkan beberapa keping zink. – KOSMO! ONLINE