SEREMBAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan meminta orang ramai tidak memberi makan kepada kera liar yang sering berkeliaran di kawasan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, tindakan itu boleh menyebabkan perubahan tingkah laku haiwan, menjadikannya lebih berani dan agresif terhadap manusia.
“Apabila kera sudah terbiasa diberi makanan, ia tidak lagi takut dengan kehadiran manusia dan berani merampas makanan daripada orang yang lalu-lalang, terutama di kawasan hospital,” katanya ketika mengulas rungutan orang ramai di media sosial berkaitan gangguan kera liar di HTJ.

Menurut Faizal, gangguan bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa, malah mencetuskan risiko keselamatan, terutamanya di lokasi yang padat seperti hospital.
“Sejak 2019 hingga 2024, pihaknya telah menerima sembilan aduan berhubung gangguan kera liar di sekitar HTJ, termasuk di Institut Perubatan IMU dan Asrama Kolej Pembantu Perubatan.
“Antara langkah yang telah diambil termasuk rondaan berkala, pemasangan perangkap, dan memberi nasihat kepada orang awam. Bagaimanapun, perangkap hanya akan dipasang berdasarkan keperluan dan aduan semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE