KUALA LUMPUR – Taktik satu sindiket menjadikan kondominium mewah sebagai pusat memproses dadah dalam cecair vape terbongkar selepas diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Brickfields, di sini, kelmarin.
Sindiket itu yang didalangi individu warga Taiwan didapati berpindah makmal dan membuat pertukaran pekerja setiap tiga bulan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Pemangku Pengarah JSJN, Deputi Komisioner Mat Sani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, hasil risikan selama tiga bulan, pihaknya berjaya menahan dua individu warga Taiwan berusia 30 dan 35 tahun.
Kedua-dua suspek berperanan sebagai ahli kimia, penjaga stor dan ‘runner’ yang dipercayai aktif sejak April 2024.
“Pemeriksaan di kondominium itu menjumpai 20 bekas plastik ‘jerry can’, enam botol plastik serta 69 katrij berisi cecair vape mengandungi dadah jenis amphetamine.
“Dadah sintetik ini dipercayai dijual RM180 untuk pasaran tempatan, manakala bagi pasaran luar pula harganya boleh mencecah sehingga RM400,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Mat Zani memberitahu, pelbagai peralatan untuk memproses dadah dijumpai antaranya mesin pengadun dan pembungkusan serta alat penimbang.
Jumlah rampasan cecair vape mengandungi dadah adalah sebanyak 88.2 liter bernilai RM3.29 juta.
Jelas beliau, penjualan bahan terlarang itu menyasarkan golongan remaja dan boleh ‘merosakkan’ seramai 441,000 orang sekiranya terlepas ke pasaran.
“Hasil analisis awal mendapati pengambilan dadah itu boleh menyebabkan sawan, kegagalan fungsi hati, gangguan emosi dan kematian mengejut akibat serangan jantung serta kegagalan pernafasan,” ujarnya.
Mat Zani berkata, sindiket menyewa kondominium mewah itu sebanyak RM4,100 sebulan untuk memproses dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan dan luar negara iaitu Taiwan.
“Kedua-dua lelaki asing itu direman sehingga 4 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya yang memberitahu suspek memiliki rekod di negara asal berhubung kes dadah, senjata api dan bunuh.
Tambah beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) dan Criminual Investigation Bureau (CIB) Taiwan untuk siasatan lanjut.
“Kita telah mengenal pasti saki-baki sindiket ini dan tindakan mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas sedang diteruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE