JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah menahan seorang penceramah agama yang dipercayai memberikan ceramah tanpa tauliah di sebuah rumah di Pasir Gudang, di sini malam tadi.
Pengarah JAINJ, Nasri Md. Ali berkata, individu berusia 50 tahun itu ditahan Bahagian Penguatkuasaan JAINJ dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada pukul 8.30 malam.
Menurut beliau, tindakan itu dibuat dibawah Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 iaitu mengajar agama tanpa tauliah.
“Penceramah ini dipercayai memberi ceramah dengan jemaah selain disiarkan secara ‘live’ di media sosial. Kediaman itu milik individu lain yang turut dijadikan tempat ceramah setiap hari selepas subuh dan maghrib.
“Ketika penahanan dibuat, beberapa individu yang berada di kediaman itu sedang mendengar ceramah, selain menerusi siaran langsung di Facebook dan YouTube.
“Ketika ini siasatan terhadap penceramah tersebut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Nasri, tindakan individu tersebut memberi ceramah agama tanpa tauliah telah dibawa dalam mesyuarat pihaknya sebelum keputusan dibuat agar JAINJ mengambil tindakan.
“Berdasarkan rekod kami, individu sama pernah ditahan pada 2016 atas kesalahan sama. Pada tahun 2020 ada serbuan dibuat namun dia berjaya melepaskan diri. Ini merupakan kali ketiga tindakan diambil terhadap dirinya kerana tiada tauliah.
“Kita tidak halang orang beri ceramah, tetapi mestilah dapatkan tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor. Tindakan ini sama sahaja seperti negeri lain yang mewajibkan penganjur atau pendakwah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE