fbpx

Tujuh surat dihantar berhubung titah adendum – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa sekurang-kurangnya tujuh surat dihantar berhubung kewujudan titah adendum supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki tahanan dalam rumah.

Peguam utama yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak terbabit.

Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, surat itu turut dihantar kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh yang ketika itu adalah Peguam Negara (AG) namun tiada balasan bagi mengakui penerimaannya.

“Sekurang-kurangnya tujuh surat yang dikemukakan kepada individu atau institusi bagi memohon pengesahan titah adendum, tidak dijawab langsung atau dimaklumkan bahawa surat itu diterima. Katalah ia tidak wujud, bukankah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjawab surat kami dan mengatakan bahawa dokumen tambahan ini tidak ada, apa salahnya jika mereka memberitahu kami begitu, mungkin kami akan berhenti setakat itu,” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ujar beliau, semakan kehakiman bukan satu prosiding biasa kerana ia ditujukan kepada pegawai atau badan kerajaan.

“Mereka tidak boleh bermain ‘hide and seek’ dan tidak boleh katakan ‘cuba teka sama ada ia wujud atau tidak’, sebaliknya mereka wajib menjelaskan maklumat dan dokumen itu,” katanya lagi.

Muhammad Shafee berkata, prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Ahmad Terrirudin dikemukakan kerana beliau tidak memberikan arahan yang betul kepada pegawainya berhubung kewujudan titah adendum.

Sebelum ini, Najib memfailkan permohonan memulakan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin kerana menghina mahkamah berhubung titah adendum.

Dalam kenyataannya, firma guaman yang mewakili Najib berkata, sejak Januari dan Februari lalu, pihaknya memaklumkan telah mendapat arahan bekas Perdana Menteri untuk memfailkan permohonan penghinaan mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin.

Sejurus selepas pemfailan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan tidak akan teragak-agak untuk memohon supaya komital yang difailkan terhadap Ahmad Terrirudin diketepikan.

Dalam kenyataan dikeluarkan AGC berkata, isu yang dibangkitkan dalam permohonan itu kini adalah subjek rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan ditetapkan untuk pendengaran pada 1 dan 2 Julai ini berkaitan Permohonan Semakan Kehakiman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI