GOMBAK – Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dengan rampasan bernilai RM7 juta susulan penangkapan tiga individu yang berperanan sebagai transporter di sekitar daerah ini.
Operasi yang dijalankan selama dua hari itu dijalankan pada 14 Mei dan 27 Mei sekitar pukul 9.30 malam dan 6 pagi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam operasi pertama pihaknya menemui 212 bungkusan plastik syabu dengan anggaran berat 222,331 gram dalam sebuah kenderaan yang ditinggalkan di sebuah gudang penyimpanan kereta.
Beliau berkata, hasil siasatan membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang bekerja sebagai penjual kereta terpakai.
“Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM7.1 juta dan dipercayai untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang.
“Polis juga menyita seutas rantai emas bernilai RM11,348.86,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Gombak, di sini hari ini.
Sementara itu, Noor Ariffin berkata, menerusi operasi kedua, sepasukan polis menahan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan seorang lelaki warga asing dan seorang warga tempatan.
Ujarnya, pemeriksaan di dalam kereta menjumpai satu beg plastik mengandungi dua bungkusan plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis ganja dengan berat 2,072 gram.
“Suspek lelaki berusia 34 tahun merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda di sebuah universiti swasta manakala suspek wanita berusia 47 tahun bekerja sebagai eksekutif insurans.
“Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM6,423 dan dipercayai mensasarkan pasaran sekitar daerah ini,” katanya.
Noor Ariffin berkata, suspek kes pertama direman 12 hari sehingga esok manakala kedua-dua suspek kes kedua direman tujuh hari sehingga 3 Jun di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -KOSMO! ONLINE