GOMBAK – Polis tidak menerima sebarang laporan baharu berkaitan seorang pempengaruh dikenali sebagai CEO Batu berhubung hantaran mesej berbaur lucah terhadap individu lain.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan melibatkan mangsa remaja perempuan berusia 14 tahun.
“Suspek itu sudah diberikan jaminan pada 27 Mei lalu dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini, tiada laporan lain yang diterima membabitkan suspek. Hanya kes itu (seorang remaja) diterima,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.
Sebelum ini, polis menahan reman pempengaruh itu selama empat hari sehingga semalam sebelum dilanjutkan sehari lagi.
Siasatan awal mendapati lelaki itu menghantar beberapa imej tidak senonoh dan mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal bulan ini menerusi media sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sebelum ini penyanyi dan aktivis, Caprice mendedahkan beberapa kiriman mesej di media sosial yang didakwa berbaur lucah yang dihantar seorang pempengaruh kepada remaja bawah umur.
Menerusi beberapa hantaran di akaun Instagramnya, Caprice telah dihubungi oleh ibu remaja itu yang meminta bantuan selepas anak gadisnya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual.
Antara tangkap layar yang dikongsikan adalah kiriman mesej berserta gambar tidak senonoh dipercayai dengan niat untuk menunjukkan parut kesan pembedahan. – KOSMO! ONLINE