KUALA LUMPUR – Taska di Taman Danau Kota, di sini, yang terlibat dalam kes kematian bayi tujuh bulan, diarah untuk menghentikan operasi serta-merta.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, taska berkenaan diarahkan menghentikan operasi sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Buat masa ini kerana berlaku kes kematian, taska berkenaan diarahkan untuk memberhentikan operasi sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan mangsa, Muammar Aidil dilaporkan tidak sedarkan diri tidak sampai sejam selepas dihantar ke premis jagaan tersebut pada pukul 9.20 pagi sebelum disahkan meninggal dunia.
Bapanya, Aidil Khalid, 41, dilaporkan berkata, pemergian Muammar begitu pantas dan mengejutkannya sekeluarga kerana bayi tersebut dalam keadaan sihat dan ceria ketika dihantar isterinya, Nur Farihah ke taska berkenaan pada pagi kejadian.
Pada hari kejadian, anak pasangan peguam itu tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom tidak sihat.
Ibu mangsa, Nur Farihah Meor Mazli, 29, berkata, sebelum ini dia pernah memaklumkan kepada pihak taska bahawa anaknya tidak sepatutnya dibedung ketika tidur.- KOSMO! ONLINE