JAKARTA – Seorang lelaki di Kota Tegal, wilayah Jawa Tengah berdepan hukuman penjara dua tahun selepas memukul jirannya yang menghina isterinya, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Suspek dikenali sebagai FR, 38, memukul mangsa, AW, 37, pada Khamis minggu lalu.
Menurut Ketua Polis Kota Tegal, Asisten Komisioner I Putu Bagus Krisna Purnama, ketika kejadian, mangsa sedang duduk bersembang bersama rakan-rakannya.
Suspek kemudian datang dan berbual sebentar bersama mangsa sebelum membaling tin susu ke arah mangsa.
“Suspek juga menampar pipi mangsa berulang kali.
“Perbuatan itu dicetuskan oleh tuduhan mangsa bahawa isteri suspek ialah ‘wanita aplikasi MiChat’,” kata Bagus.
Tambah Bagus, suspek kemudian menghubungi isterinya untuk bertanyakan mengenai perkara itu sebelum dia memukul mangsa sekali lagi.
“Mangsa mengalami kecederaan serius dan dibawa ke hospital,” katanya.
Suspek mengaku memukul mangsa kerana berang dengan ejekan ke atas isterinya. – AGENSI