MELAKA – Keterujaan seorang pelajar tingkatan satu melakukan aksi berbahaya meniarap atas motosikal sambil melakukan aksi ‘zig zag’ tidak berpanjangan apabila ditahan polis di Tambak Paya, di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, aksi berbayaha remaja berusia 13 tahun itu dikesan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Melaka Tengah ketika melakukan Op Dagang hasil aduan orang ramai berhubung samseng jalanan, Sabtu lalu.
“Dua anggota dihantar ke lokasi dan melihat seorang remaja membuat pusingan U di lampu isyarat sambil menderukan enjin motosikalnya dan tidak memakai topi keledar.
“Dia memecut motosikal dari persimpangan lampu isyarat Simpang Tiga Paya Dalam sambil meniarap dan melakukan ‘zig zag’ hingga melepasi persimpangan Kampung Batu Putih,” katanya hari ini.
Menurut beliau, remaja terbabit turut melakukan aksi berbahaya itu sebanyak tiga pusingan di lokasi sama sebelum dikejar dan menahannya kerana membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Dia ditahan pada pukul 2.40 pagi di tepi jalan di simpang tiga Tambak Paya dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang dalam keadaan berbahaya.