JAKARTA – Seorang anggota polis trafik di Indonesia mengundang kecaman orang ramai apabila meminta penunggang motosikal yang melanggar lalu lintas untuk membuat bayaran kepadanya demi mengelak daripada disaman, lapor portal berita iNews.
Kejadian berlaku di Gowa, wilayah Sulawesi Selatan kelmarin.
Rakaman dimuat naik di media sosial memaparkan wanita itu merayu anggota terbabit untuk tidak menyamannya kerana menunggang motosikal tanpa lesen.
Lebih mengejutkan, anggota polis itu sempat tawar-menawar.
Mereka kemudian bersetuju untuk menyelesaikan masalah itu dengan membayar secara tunai sebanyak 150,000 rupiah (RM39).
Ketua Polis Trafik Gowa, Iptu Bahrul berkata, kejadian itu telah dilaporkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut. – AGENSI