fbpx

Pembantu kedai makan didakwa ‘noda’ remaja 14 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Izzuddin (kiri) semasa tiba untuk prosiding pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSALWANI CHE SOH / KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang pembantu kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja berusia 14 tahun di dalam sebuah bilik di sini pada Januari lalu.

Tertuduh, Wan Izzuddin Wan Hasim, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun empat bulan ketika kejadian di sebuah bilik di Padang Sri Paduka di sini kira-kira pukul 3 pagi pada 24 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nurie Abd. Rahman.

Terdahulu, Ahmad Faiz mencadangkan agar jaminan tidak ditawarkan terhadap tertuduh.

Ahmad Nurie dalam rayuannya memohon jaminan diberikan terhadap anak guamnya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan.

“Kedua ibu bapa tertuduh juga meminjam wang daripada saudara-mara untuk membayar jaminan hari ini.

“Jadi, saya memohon pertimbangan dan budi bicara mahkamah supaya membenarkan ikat jamin ditawarkan kepada tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang menganggu saksi dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar ikat jamin tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI