KUALA LUMPUR – Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke suku akhir Terbuka Singapura 2025 selepas menewaskan pilihan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Matsumoto hari ini.
Pasangan negara itu menampilkan persembahan meyakinkan untuk mencatat kemenangan straight set 25-23, 21-18 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.
Mengulas kemenangan itu, Thinaah mengakui mereka masih melakukan beberapa kesilapan mudah tetapi saling menyokong untuk memastikan kemenangan diraih.
“Saya rasa saya telah melakukan banyak kesalahan yang mudah. Itulah sebabnya kami telah memberi mereka banyak mata. Tapi ternyata saya ada dia (Thinaah) di sisi saya. Dia sangat membantu saya untuk perlawanan hari ini,” kata Pearly.
Ditanya mengenai keadaan gelanggang yang agak berangin, Pearly berkata mereka sudah mula menyesuaikan diri dan berharap dapat memperbaiki permainan untuk aksi suku akhir hari ini.
“Saya rasa hari ini sedikit lebih baik daripada semalam. Tetapi masih ada perkara yang perlu kami biasakan. Kami tidak mahu ia mempengaruhi permainan kami esok,” katanya.
Pasangan No. 1 negara itu sebelum ini membuka kempen dengan kemenangan ke atas gandingan Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan, 21-16, 21-18 dalam pusingan pertama.
Kemenangan itu turut menyuntik semangat buat Pearly-Thinaah yang sebelum ini menjuarai Terbuka Thailand awal bulan ini. – KOSMO! ONLINE